CHOCOCRISPY Enterprise optimis mencapai sasaran jualan sehingga 300,000 balang produk keluarannya iaitu Choco Crispy dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Pengurusnya, Muhammad Farhan Abd Samad berkata, mereka komited untuk meraih angka jualan itu menerusi peluasan rangkaian pemasarannya di seluruh negara. Malah, katanya, strategi pemasaran terus diperluas dari masa ke masa bagi memastikan Choco Crispy mendapat permintaan tinggi. “Permintaan Choco Crispy meningkat mendadak terutamanya pembelian secara dalam talian, stokis dan ejen di seluruh negara. “Kita akan berusaha mengembangkan lagi perniagaan ini dari masa ke semasa melalui pelan strategi pemasaran yang lebih terancang dan tersusun,” katanya kepada Bisnes Sinar. Pemuda berusia 23 tahun itu menjelaskan, sasaran utama pasaran Choco Crispy adalah remaja, pelajar sekolah dan golongan dewasa yang menggemari makanan ringan. Menurutnya, setakat ini produk keluaran syarikat berkenaan mencatatkan jualan tertinggi di Selangor dan Johor. Muhammad Farhan yang mengusahakan perniagaannya di Parit 1 Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam, Selangor berkata, beliau akan terus pastikan perniagaan diusahakan itu berkembang maju, sekali gus membantu menjana pendapatan mereka yang berminat memasarkannya. |